PUTRAJAYA – Pejabat Perdana Menteri mengesahkan pelantikan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri.

Pengesahan itu dibuat dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata, Ahmad Faizal akan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi.

Ahmad Faizal adalah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga bekas Menteri Besar Perak.

Terdahulu, satu poster ucapan tahniah atas pelantikan itu yang dikeluarkan oleh Bersatu Bahagian Kota Bharu tular di media sosial.

Sementara itu, Bersatu negeri Perak bersama seluruh kepimpinannya mengucapkan tahniah atas

pelantikan tersebut yang berkuat kuasa  1 Ogos lalu.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perak,  Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam satu kenyataan berkata, pelantikan yang dibuat ini adalah tepat dan akan menjamin impak positif dalam membantu memperkasakan urus tadbir negara.

Menurut beliau, Bersatu Negeri Perak juga yakin dengan komitmen Ahmad Faizal dalam mengalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan disamping mendokong Pelan Pemulihan Negara yang sedang berjalan kini.

"Berdasarkan pengalaman Dato Seri Ahmad Faizal yang luas ianya akan menjadi aset penting dalam memperkasa pentadbiran negara di bawah kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Yasin.

"Semoga pelantikan ini berkesan dan terus Istiqamah dalam membina negara dan sekaligus menjadikan Malaysia Negara yang cemerlang" ujarnya dalam kenyataan tersebut.