PUTRAJAYA – Kemudahan untuk mendapatkan vaksin secara walk-in akan diperluaskan kepada lima golongan tertentu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di seluruh Malaysia dalam memastikan usaha vaksinasi terus dipertingkat di seluruh negara.

Antaranya warga emas, orang kelainan upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun ke atas dan individu terlepas suntikan dos kedua.

Turut diberikan keutamaan ialah guru serta anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata, bagi individu terlepas suntikan dos kedua, mereka boleh pergi ke mana-mana PPV berhampiran dengan kediaman.

"Sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin jenis yang sama dengan dos satu, mereka akan dirujuk ke PPV lain,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, CITF berkata, penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas, namun ingin walk-in untuk dos pertama kerana tiada janji temu boleh berbuat demikian dengan mengunjungi PPV yang telah disenaraikan sebelum ini.

“Walk-in ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini juga kini dibenarkan mengikut waktu operasi PPV masing-masing dan tidak lagi bermula pukul 2 petang.

“Wanita hamil tidak digalakkan untuk walk-in, sebaliknya akan diberikan janji temu melalui MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin ke PPV bersesuaian,” jelas kenyataan itu.