PUTRAJAYA -  Pendatang asing tanpa izin (Pati) yang didapati positif Covid-19 akan ditempatkan di Hospital Kusta Sungai Buloh dan Wad Bersalin Lama Hospital Kuala Lumpur.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Pengurusan Khas Pati di sini.

Menurutnya, selain dua hospital tersebut, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) masih menempatkan mereka yang positif Covid-19.

"Kesemua pusat rawatan ini dijangka mampu menampung kira-kira 1,430 pesakit," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Ismail berkata, dalam mesyuarat tersebut, saringan Covid-19 akan dilakukan melalui kaedah swab test. 

"Saringan tersebut akan dilakukan ke atas semua Pati di Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bukit Jalil dan Semenyih.

"Pati yang negatif Covid-19 akan dihantar pulang ke negara masing-masing. Sehubungan itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) diminta untuk berbincang dengan rakan sejawat dan kedutaan negara terlibat bagi urusan tersebut," jelasnya.