KUALA LUMPUR - Penggiat seni dan pengusaha industri kreatif menerima berita gembira berikutan kesediaan kerajaan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri tersebut bermula 9 September ini.

Ia akan memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja dalam bidang tersebut selain 19,000 syarikat industri kreatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan untuk memberi kelonggaran itu adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut beliau, kelonggaran itu hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 mengikut kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

"Industri kreatif menyumbang sebanyak kira-kira dua peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

"Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas Perdana Menteri, kelonggaran juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.

Turut dibenarkan ialah pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.

"Selain itu ialah penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio serta aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.

"Juga dibenarkan ialah aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni secara janji temu dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis," katanya.