KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan tarikh sebenar sesi persekolahan hanya akan diumumkan melalui medium rasmi kementerian berkenaan sahaja.

Ini berikutan penularan maklumat yang sedang tersebar luas di aplikasi WhatsApp berhubung jadual sesi persekolahan ketika ini.

Dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan Kementerian itu hari ini, memaklumkan takwim persekolahan yang tersebar di aplikasi WhatsApp itu adalah palsu.

Terdahulu tular mesej antaranya menyatakan sekolah menengah bakal dibuka pada Jun ini diikuti sekolah rendah pada Julai manakala murid pendidikan khas, pra sekolah dan tadika direhatkan hingga penghujung tahun ini.

Sebelum ini kerajaan hanya mengumumkan pembukaan sesi persekolahan akan diutamakan kepada pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Bagaimanapun, setakat ini, kerajaan belum mengumumkan tarikh sebenar pembukaan sekolah untuk semua yang terlibat.