KUALA LUMPUR – Khidmat Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara (KPN) akan dilanjutkan selama dua tahun lagi secara kontrak.

Acryl Sani yang akan genap 60 tahun pada 3 Oktober ini difahamkan akan bersara wajib pada awal bulan depan dilantik secara kontrak bermula 4 Oktober ini hingga 3 Oktober 2023.

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan KPN disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Bukit Aman hari ini.

Acryl Sani sebelum ini dilantik sebagai KPN ke-13 pada 3 Mei lalu menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang bersara selepas menyambung kontrak perkhidmatan selama dua tahun.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini yang juga lulusan Universiti Utara Malaysia dalam Sarjana Sains (Pengurusan) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam menyertai PDRM pada 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).

Antara jawatan kanan yang pernah disandang beliau Acryl ialah Ketua Polis Terengganu pada tahun 2006, Ketua Polis Perak (2013), Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020).