KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi perkongsian dalam laman Twitternya menjelaskan, hanya empat peratus lagi diperlukan bagi menarik semula larangan rentas negeri.

"Dengan lebih banyak kelonggaran yang diberikan, pastinya aktiviti berkumpulan akan dilakukan. Sehubungan itu, setiap rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing.

"Mereka yang mengalami simptom perlu segera mendapat dan melakukan ujian saringan melalui kit kendiri. Sekiranya didapati positif, segera lakukan proses isolasi," katanya pada paparan tersebut.

Dengan perkembangan memberangsangkan itu, Khairy Jamaluddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus bertanggungjawab terhadap kawalan kendiri.

Ketika ini kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan dengan 86.8 peratus populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah memulakan proses rundingan bagi memperoleh ubat antiviral Covid-19 yang dihasilkan oleh Merck & Co.

Menurut beliau, ia merupakan usaha yang dilakukan untuk negara beralih kepada kehidupan bersama Covid-19.

Selain itu, katanya, penambahan pemilihan rawatan inovatif juga akan dilakukan selain daripada vaksinasi.

“Dalam usaha kita beralih kepada hidup bersama Covid-19, kita akan menambah pilihan rawatan inovatif sebagai usaha tambahan selain vaksinasi.

"Saya sudah memulakan proses rundingan untuk Malaysia peroleh ubat yang berkesan selepas melalui ujian klinikal,” ciapnya pada hantaran Twitter.