KUALA LUMPUR - Lima negeri iaitu Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah akan beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Melaka dan Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor pula beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.

Dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri terbabit, negara Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3.

Mengumumkan perkara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, ia mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari pada laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my.

"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini turut memutuskan Operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok, 16 Oktober 2021," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan

Selain itu kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Katanya, pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober.

Menurutnya, SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober 2021.

Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuatkuasa 18 Oktober 2021.

Selain itu, individu perlu menjalani ujian PCR 3 hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia, menjalani ujian PCR setibanya di mana-mana pintu masuk negara dan syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja.

Katanya, syarat itu juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin.