PUTRAJAYA - Lelaki Rohingya yang dilaporkan melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, Ahad lalu ditahan hari ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan perkara itu dalam sidang media harian di sini. 

"Kita dimaklumkan lelaki yang lari itu telah ditangkap dan dimasukkan semula ke pusat  kuarantin berkenaan," jelasnya.

Sebelum ini, lelaki Rohingya yang dikenali sebagai Rohim Mohd Zokaria, 27, didapati hilang oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 11 pagi Ahad lalu ketika membuat pemantauan kesihatan terhadap mereka yang dikuarantin di Blok E-2-83.

Rohim sebelum ini, ditahan polis Muallim dan dimasukkan ke Hospital Slim River kerana mempunyai gejala Covid-19.

Hasil saringan di hospital menunjukkan suspek negatif dari jangkitan Covid-19 dan dihantar institut berkenaan untuk dikuarantin selama 14 hari pada jam 5 petang Sabtu lalu.