PUTRAJAYA – Masih ada dalam kalangan orang ramai yang berdegil untuk cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran apabila sebanyak 93 kenderaan diarahkan berpatah balik semalam.

Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi adalah Pahang sebanyak 38 kenderaan, Melaka (27) dan Selangor (24).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan 56 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana 46 individu direman manakala 10 dijamin polis.  

Menurutnya, PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 88 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri. 

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 76,348 pemeriksaan semalam (2 Jun 2020), bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

“PDRM juga telah mengenakan 138 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 267,373 kenderaan berbanding 283,677 kenderaan hari sebelumnya,” ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Justeru, beliau meningkatkan semua pihak supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan kerana ia penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini.