PUTRAJAYA - Kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang disenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka dalam berdepan wabak Covid-19.

Bayaran yang akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha itu bakal memberi manfaat kepada lebih 300,000 penerima.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengambil berat kebajikan golongan tersebut.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Pada pengumumam sama, beliau memberitahu bahawa kemudahan internet percuma berkapasiti 1GB setiap hari akan diteruskan sehingga Disember ini kepada semua pengguna.

Katanya, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi menyediakan kemudahan tersebut antara lain membolehkan pengguna melayari laman web pendidikan dan aplikasi persidangan video.

"Selain itu semua pengguna akan mendapat akses secara percuma tanpa had laman web kerajaan dan aplikasi Covid-19 kerajaan khususnya MySejahtera," katanya.