PUTRAJAYA - Kerajaan sedang mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan rakyat negara ini yang berulang alik bekerja di Singapura supaya boleh kembali bekerja.   

Ini berikutan sektor industri di Singapura telah mula beroperasi dan meminta kebenaran supaya pekerja mereka warga Malaysia untuk berulang alik ke Singapura. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas telah bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia untuk berulang alik atas urusan kerja dan bersedia untuk menjalankan ujian Covid-19 jika diperlukan kerajaan Singapura.

“Kerajaan telah menerima tawaran daripada Yayasan Sultan Ibrahim serta dua syarikat swasta Singapura iaitu Kumpulan Temasik dan Thompson Medical Group untuk menyumbang dua makmal ujian saringan Covid-19 bergerak dan kit ujian Covid-19. 

“Walaubagaimanapun, pelaksanaan kebenaran ini masih dalam perbincangan antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negara (Wisma Putra) bersama rakan sejawatnya di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan ingin menyarankan rakyat untuk memuat turun aplikasi My Sejahtera bagi membolehkan penilaian kesihatan kendiri. 

Menurut Ismail Sabri, aplikasi ini juga membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan yang cepat, tepat dan berkesan untuk mengenalpasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna setelah mereka memuat turun aplikasi MySejahtera.

“Ini bagi menggalakan orang ramai untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera,” ujar beliau.