PUTRAJAYA – Berbaki sehari lagi, segala akta di bawah pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang hanya berakhir esok, 9 Jun masih berkuatkuasa termasuk penahanan dan penguatkuasaan.

Justeru, orang ramai masih perlu mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sehingga ia diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai Rabu ini.

Itu ingatan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sehingga semalam Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah membuat 75,182 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPB melibatkan 4,033 pasukan dengan seramai 18,966 anggota. 

“Polis juga telah mengenakan 133 Sekatan Jalan Raya (SJR) rentas sempadan negeri dan memeriksa 194,450 kenderaan.

“Seramai 60 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPB di mana 53 daripadanya direman. Polis turut mengeluarkan kompaun kepada 277 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB termasuk 34 kompaun semasa SJR,” katanya di sini, semalam.

Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan termasuk kawalan kendiri dalam memerangi pandemik Covid-19 ini.