BEHRANG - Seorang suri rumah tidak menyangka minatnya menanam pokok lidah jin atau lidah mertua secara suka-suka di depan rumah, kini memberi pulangan lumayan selepas keistimewaan pokok itu menjadi tular di media sosial.

Pokok lidah jin atau nama saintifiknya Sansevieria yang tergolong dalam tumbuhan berbunga keluarga Ruscaceae ini mendapat perhatian orang ramai apabila dipercayai mampu menyerap karbon dioksida dan membebaskan gas oksigen iaitu udara yang segar terutama di dalam rumah.

Dian Farhana Daud, 34, berkata, pada peringkat awalnya hanya untuk mengisi masa lapang pada waktu petang.

Dia tidak menyangka pokok yang sebelum ini tidak dipandang orang itu, kini menjadi antara tumbuhan bernilai tinggi di pasaran.

"Jika dahulu, kalau orang mahu membeli harganya cuma RM15 sahaja sepasu namun selepas tular harganya me ingat antara RM60 sehingga RM130 dan dijual secara dalam talian. 

" Rakan saya memaklumkan, pokok itu sesuai diletakkan di dalam rumah atau bilik kerana dipercayai mampu menyerap habuk atau bahan toksik serta membebaskan udara yang segar," katanya yang tinggal di Kampung Klan Halt, dekat sini. 

Menurutnya, pokok itu mempunyai pohon kecil berair dengan daun hijau dan tingginya mampu mencecah kira-kira tiga meter jika dijaga dan dibaja dengan baik.

Dian Farhana berkata, sejak pokok itu tular, dia sering mendapat tempahan secara dalam talian daripada rakan di laman Facebook.

"Saya akan terus menanam pokok ini sebagai hobi pada masa lapang dan jika ada orang ramai yang mahu membelinya, saya akan jual dengan harga berpatutan.

" Duit hasil jualan itu membantu menampung belanja dapur di samping menambah lagi bilangan pokok atau pasu serta baja supaya pokok itu hidup subur dan mampu memberi manfaat kepada saya sekeluarga," katanya.