PUTRAJAYA – Perkhidmatan e-hailing dan teksi kini dibenarkan beroperasi tanpa had masa manakala jumlah penumpang pula mengikut kapasiti kenderaan yang digunakan. 

Selain itu, penggunaan aplikasi MySejahtera juga dimestikan bagi memudahkan proses pengesanan manakala pembayaran tambang mengikut kaedah tanpa tunai digalakkan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengangkutan Awam hari ini.  

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka pula adalah diwajibkan bagi semua penumpang dan pemandu.

“Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk membenarkan bas ekspres beroperasi dengan kapasiti penuh dan tanpa had masa.

“Pengusaha bas ekspres perlu mendaftar penumpang-penumpang mereka melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual,” ujarnya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, penumpang termasuk pemandu bas ekspres perlu memakai pelitup muka pada setiap masa.

Katanya, pengusaha bas perlulah memeriksa suhu badan penumpang sebelum menaiki kenderaan dan menyediakan pelitup muka kepada mereka yang tiada serta melakukan proses sanitasi bas selepas setiap perjalanan. 

“Pengangkutan awam seperti bas awam, feri, keretapi, keretapi aliran ringan dan lain-lain boleh beroperasi dengan kapasiti penuh.

“Bagi yang membenarkan penumpang untuk berdiri, penumpang perlu mengamalkan kawalan kendiri penjarakan sosial,” ujarnya.

Selain itu, pesawat penerbangan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh serta mematuhi SOP yang ditetapkan. 

Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa penumpang yang bukan dari keluarga yang sama dan mengikut kapasiti kenderaan. 

Mereka juga perlu memakai topeng muka di dalam kenderaan.