BANGKOK – Negara jiran Thailand merekodkan kes pertama varian baharu Omicron yang dinamakan XE iaitu hibrid bagi varian Omicron BA.1 dan BA.2.

Perkara itu juga disahkan oleh Pusat Perubatan Genomik Hospital Ramathibodi mengesahkan kes pertama varian XE.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa lepas menyuarakan kebimbangan mengenai varian XE dan memberi amaran ia berkemungkinan lebih mudah berjangkit daripada Omicron asal.

Bagaimana pun, tahap jangkitannya masih dalam kajian.

Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) juga memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau tiga mutasi gabungan Omicron iaitu XD, XE dan XF. Setakat minggu lepas.

Ketika ini hanya varian XE dikesan di Britain dengan 637 kes yang disahkan.

Setakat ini, terdapat enam mutasi gabungan Omicron bagi BA.1 dan BA.2 iaitu XE, XG, XH, XJ, XK dan XL yang masih dikaji di seluruh dunia.

UKHSA berkata, XE adalah 9.8 peratus lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian Omicron terdahulu dan 43 peratus lebih mudah berjangkit berbanding varian Omicron asal (B.1.1.529).

“Setakat ini, kami tidak mempunyai bukti cukup untuk membuat kesimpulan mengenai kebolehjangkitan, tahap keseriusan atau keberkesanan vaksin terhadap varian XE.

“Mutasi gabungan XE adalah bukan varian Deltacron yang dilaporkan beberapa bulan lepas. Deltacron merupakan gabungan varian Delta dan Omicron. Ia tidak merebak terlalu cepat dan menyebabkan gejala teruk,” kata UKHSA.