PUTRAJAYA – Keluhan rakyat berikutan caj elekrik yang melambung akhirnya mendapat perhatian apabila kerajaan meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan (BPET) kepada semua pengguna domestik hari ini.

Bantuan tersebut yang melibatkan peruntukan berjumlah RM942 juta itu bakal memberi manfaat kepada 7.66 juta pengguna.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meluluskan BPET sebagai inisiatif kerajaan mengurangkan beban rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya mengambil maklum keluhan rakyat ekoran peningkatan bil elektrik yang dialami sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menerusi bantuan ini, 4 juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik RM77 sebulan ke bawah (penggunaan 300kWj ke bawah) akan menikmati elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun ini.

“Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan untuk tempoh yang sama,” ujarnya pada sidang akhbar khas di kementeriannya hari ini.

Turut hadir Pengerusi TNB, Datuk Mahdzir Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sebelum ini, keluhan rakyat berhubung bil elektrik yang melambung sepanjang PKP disuarakan menerusi media dan juga media sosial sehingga ramai yang terkesan apabila terpaksa membayar bil yang mencecah ribuan ringgit.

Dakwa mereka, caj bil dikenakan setelah TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu selepas dihentikan sementara susulan PKP sejak 18 Mac lepas.

Shamsul berkata, bantuan itu adalah tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan sejak 1 April lalu. 

Menurutnya, ia akan disalurkan melalui bil elektrik bermula Julai ini yang menyaksikan pelaksanaan bantuan itu telah meningkat kepada RM2.2 bilion.

Semua pembiayaan bantuan akan ditanggung kerajaan menerusi Kumpulan Wang Indusri Elektrik, Kementerian Kewangan dan TNB.