PUTRAJAYA - Berita baik bagi penggemar wayang gambar apabila operasi pawagam kini dibenarkan dibuka bermula 1 Julai ini.

Turut boleh beroperasi ialah teater dan acara persembahan langsung.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas menteri Perintah Kawalan Pergerakan Pematuhan (PKPP) hari ini.

Menurutnya, aktiviti itu hanya dibenarkan di dewan tertutup dengan tidak boleh lebih 250 penonton atau mengikut kapasiti dewan.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan terutama berkenaan penjarakan sosial perlu dipatuhi pada setiap masa.

"Jika dewan boleh memuatkan kurang 250 orang, maka penganjur perlu akur dengan jumlah yang lebih rendah," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kegiatan riadah di kolam renang serta pelancongan air (sungai, laut dan tasik) turut dibenarkan pada tarikh tersebut, dengan SOP yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, taman tema air masih tidak dibenarkan untuk beroperasi lagi," katanya.

Selain itu, turut dibenarkan adalah penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus dan latihan dengan penyertaan juga tidak lebih 250 orang.