PUTRAJAYA – Pelaksanaan ibadah korban di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bakal mengikuti garis panduan ditetapkan berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) tersebut kini telah pun disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

SOP ini juga boleh dijadikan rujukan kepada negeri-negeri lain semasa sambutan Aidiladha nanti.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat.

Menurutnya, kehadiran petugas pula dihadkan tidak melebihi 30 orang bagi menguruskan seekor lembu korban.

“Berdasarkan anggaran ini, pihak penganjur korban boleh membuat perkiraan bersesuaian dengan bilangan petugas yang dilantik serta mengikut berapa besar sesebuah kawasan.

“Proses melapah dan membahagi daging korban juga perlu di tempat yang sesuai, lapang dan tidak sesak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19, SOP lain yang perlu dipatuhi seperti pemeriksaan suhu badan, mencuci tangan dan merekodkan kehadiran jemaah di pintu masuk kawasan penyembelihan.

Petugas yang dipilih hendaklah sihat, tidak bergejala dan bukan dalam kalangan pengidap penyakit kronik dan bukan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

“Mereka perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera serta memastikan jarak sosial dan memakai pelitup muka,” ujar Ismail Sabri.