PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua lapisan rakyat agar tidak merasa terlalu selesa sehingga lupa dan lalai untuk membataskan diri memutuskan rangkaian pandemik Covid-19.

Beliau yang kini mesra dalam kalangan rakyat dengan panggilan ‘Abah’ juga mengingatkan supaya rakyat terus berwaspada, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Malah kata Perdana Menteri, semua lapisan masyarakat kini merupakan ‘frontliners’ (barisan hadapan) dan memikul tanggungjawab sangat berat untuk melindungi keluarga dan komuniti masing-masing.

“Alhamdulillah, buat pertama kali semalam, negara kita mencatatkan kes harian Covid-19 terendah iaitu satu kes import dan tiada kes jangkitan tempatan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara.

“Syabas dan jutaan terima kasih kepada frontliners yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

“Pada masa yang sama, saya juga berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama yang sangat baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya kelmarin.

Menurut Muhyiddin, trend penurunan jumlah kes harian tempatan sehingga merekodkan angka satu digit sejak akhir-akhir ini menunjukkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang wabak Covid-19 serta pematuhan kepada SOP semakin tinggi.

“Insya-Allah saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen seluruh rakyat kita akhirnya pasti akan berjaya memerangi wabak tersebut,” ujarnya.