PUTRAJAYA - Seorang rakyat Malaysia yang pulang luar negara dikesan positif Covid-19 dalam saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Dia antara 771 warganegara yang tiba dari pelbagai destinasi seperti Singapura, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan, Thailand, Qatar, Australia dan Korea Selatan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu tersebut dihantar ke hospital bagi tindakan susulan manakala 770 yang lain menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"Sejak 10 Jun hingga semalam, seramai 11,049 individu yang di pintu masuk KLIA telah dibuat ujian saringan di mana 11,001 didapati negatif Covid-19.

"Manakala 48 yang positif dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, semua yang terbabit kuarantin di rumah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menerusi 803 pemantauan pematuhan yang dijalankan polis.

Operasi sekatan jalan raya yang dilakukan pihak berkuasa bagi mengekang pendatang asing tanpa izin pula berjaya menahan seorang individu berkaitan kesalahan imigresen.