PUTRAJAYA - Sesi Sidang Dewan Rakyat akan diadakan sepertimana dirancang iaitu berlangsung selama 25 hari bermula pada 13 Julai ini.

Manakala Dewan Negara pula akan bersidang dari 2 September 2020 selama 11 hari. 

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meluluskan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen mengambil kira norma baharu dalam memerangi pandemik Covid-19. 

Menurutnya, antara SOP yang dipersetujui adalah pemakaian pelitup muka, penyediaan 'hand sanitizer' serta jarak sosial satu meter tempat duduk semasa persidangan Parlimen berjalan. 

“Semua yang terlibat termasuk Ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu menjalani proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk. 

“Hanya Ahli Parlimen dan pegawai dibenarkan masuk ke dewan persidangan manakala hanya petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di Bangunan Parlimen,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sesi persidangan yang ditangguhkan selepas sesi pembukaan, akan berlangsung hingga 27 Ogos dengan mengambil kira keadaan semasa terutama wabak Covid-19.

Beliau berkata, sidang pembukaan kali ini ada sedikit kelainan di mana pembentangan usul kerajaan akan dibuat sebaik sesi perasmian pembukaan berakhir.

Ini termasuk katanya, pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan serta usul pelantikan Ketua Pembangkang serta pemilihan Ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi menggantikan jawatankuasa lama.

Beliau berkata, tiada juga sebarang upacara pemeriksaan barisan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti kelaziman.