PUTRAJAYA – Seramai enam orang rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini semalam diarah menjalani pemeriksaan lanjut di hospital berikutan mempunyai gejala wabak Covid-19.
Seramai 793 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Australia, Indonesia, Singapura, Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, baki yang lain pula diarah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.
Menurutnya, seramai 139 individu lagi telah masuk melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan Feri Pasir Gudang dan kesemua diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah.
“Pada masa sama pihak polis telah membuat 1,178 pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Sejak 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat saringan ke atas 17,152 individu di pintu masuk KLIA,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seramai 37 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelas Ismail Sabri, daripada jumlah itu lima individu telah direman manakala 32 yang lain dikenakan kompaun.
Katanya, antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam melibatkan seorang, , aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (16) serta aktiviti yang melanggar SOP (20).