PUTRAJAYA - Kerajaan memandang serius kegagalan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, seperti yang berlaku di Melaka apabila individu yang terbabit tiada di bilik sewaktu menjalani kuarantin di rumah.

Kedegilan tersebut menyebabkan bapanya dikesan mempunyai gejala Covid-19 dan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat individu terbabit.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu pemantauan pihak berkuasa juga mendapati masih terdapat 255 individu yang ingkar untuk menjalani ujian saringan Covid-19 kedua.

Menurutnya, pihak KKM dan polis sedang memantau individu yang terbabit.

“Mereka digesa untuk tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan untuk ujian saringan.

“Polis akan mengambil tindakan jika mereka masih ingkar termasuk kompaun RM1,000 ataupun penjara maksimum dua tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang mahu pulang dari luar negara kini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 selama tiga hari sebelum tarikh berlepas pulang.

Langkah itu dibuat selepas banyak syarikat penerbangan memerlukan bukti penumpang mereka adalah negatif Covid-19.

Beliau juga memaklumkan, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan juga memutuskan ekspatriat yang dibenarkan masuk ke Malaysia untuk bekerja atau menguruskan syarikat tidak dibenarkan ke luar dari negara ini untuk bercuti.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan ini, mereka tidak akan dibenarkan pulang ke Malaysia sehingga satu tarikh yang dibenarkan,” ujarnya.