PUTRAJAYA – Operasi sekolah memandu yang sebelum ini tidak dibenarkan kini boleh beroperasi semula.

Perkara ini diputuskan pada Mesyuarat Khas yang juga telah bersetuju untuk membenarkan operasi sekolah memandu bermula jam 7.30 pagi hingga 8.30 malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, waktu kursus dan latihan pemanduan dibenarkan bermula jam 8.30 pagi hingga 8 malam.

Menurutnya, kapasiti pekerja juga dibenarkan sepenuhnya, bagaimanapun semua SOP yang telah ditetapkan sebelum ini mestilah dipatuhi.

“Mesyuarat Khas telah bersetuju untuk membenarkan masjid dan surau untuk memperluaskan kapasiti solat Jumaat dan solat berjemaah mengikut saiz dan ruang solat.

“Namun begitu, penjarakan sosial serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi.

"Alhamdullilah setakat ini, pemantauan pihak berkuasa telah mendapati kesemua masjid dan surau serta jemaah yang terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kebenaran sama juga diberi pada rumah ibadat bukan Islam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial.

Bagi upacara keagamaan Kristian di gereja yang dijalankan dalam pelbagai bahasa, mereka dibenarkan mengadakan upacara berkenaan secara bergilir.