KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib disahkan meninggal dunia di Bentong, Pahang, petang tadi akibat serangan jantung. 

Allahyarham yang turut memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berusia 59 tahun. 

Memetik laporan Bernama, Allahyarham dikatakan tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada tahun 2015 sebelum meletakkan jawatan pada 2018. 

Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu juga menang dengan majoriti 2,183 iaitu 8,327 pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, menewaskan calon PKR Mohd Amran Ibrahim hanya mendapat undi 6,144 serta calon PAS Zulfadli Zainal dengan undian 4,103.

Jenazah sedang diuruskan di Hospital Bentong dan dijangka akan dibawa pulang ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Slim River, Perak pada malam ini. 

Difahamkan, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Felda Sungai Behrang pada jam 9 pagi esok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang. 

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui satu kenyataan media, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. 

“Bagi pihak seluruh rakyat dan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, saya dengan penuh hiba dan dukacita mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham YB Ahli Dewan Negeri (ADUN) Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib diatas pemergian beliau akibat serangan jantung di Hospital Bentong, Pahang hari ini.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Negeri Perak dan juga rakyat di kawasan DUN Slim serta UMNO Bahagian Tanjung Malim.

“Saya juga telah kehilangan seorang sahabat yang telah saya anggap sebagai saudara kandung sendiri.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, dihimpunkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.

“Di doakan juga agar ahli keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Al-Fatihah,” katanya.