PUTRAJAYA – Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan bakal berdepan dengan impak ekonomi yang besar sekiranya penularan Covid-19 tidak dapat dikawal hingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh tiga bulan pelaksanakan PKP untuk memutuskan rantaian Covid-19 cukup memberi kesan ke atas ekonomi negara.

“Pelaksanaan semula PKP bukan sahaja akan menyebabkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 tidak akan dicapai, malah perniagaan terpaksa ditutup semula.

“Rentetan itu akan mendorong kadar pengangguran meningkat secara mendadak berbanding 5.3% pada bulan Mei lalu,” ujarnya dalam perutusan khas PKPP di sini hari ini.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia belum bebas daripada pandemik wabak itu dan kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.

Katanya lagi, sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 600,000 kematian.

“Ia juga akan menidakkan usaha-usaha kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan di bawah Pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Pakej rangsangan ini yang keseluruhannya berjumlah RM295 juta untuk memulih dan menjana semula ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini,” ujar Perdana Menteri.