PUTRAJAYA - Mulai Jumaat ini rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang dari luar negara diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

Perkara ini diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan beberapa insiden ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin di kediaman yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius kejadian tersebut dan dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya, sikap individu yang melanggar SOP dan peraturan kuarantin wajib di rumah dan sikap degil mereka ini mengundang risiko penularan tempatan. 

“Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di Stesen Kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini. 

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai Stesen Kuarantin,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kegagalan mematuhi arahan tersebut bakal berdepan tindakan tegas termasuk kompaun RM1,000 dan boleh dipenjara sehingga enam bulan bulan jika sabit kesalahan.

Susulan keputusan ini, warga asing atau rakyat Malaysia yang ingin pulang tidak lagi diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan.