KUALA LUMPUR - Saluran YouTube 'Sugu Pavithra' kini sepi selepas kandungan videonya dipercayai dipadam pada hari ini. 

Pasangan S Pavithra dan M Sugu menjadi terkenal apabila video masakan mereka menjadi ikutan lebih 785,000 pelayar hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Sebelum ini, saluran YouTube itu memaparkan 98 video masakan dan aktiviti pasangan suami isteri berkenaan.

Perkongsian video masakan mereka turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut memberikan hadiah sebagai pendorong semangat untuk pasangan terbabit terus berkongsi video memasak.

Bagaimanapun, baru-baru ini, negara dikejutkan dengan penahanan Sugu yang kemudiannya didakwa dua kali di Mahkamah Seksyen Ipoh, semalam atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya dan mendatangkan kecederaan kepada Pavithra. 

Sugu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. 

Selepas kontroversi itu melanda pasangan tersebut, mereka membuat keputusan untuk menolak sebarang anugerah atau gelaran ikon dan ingin menjalani kehidupan seperti orang biasa serta menumpukan perhatian penuh pada keluarga. 

Pasangan tersebut menperolehi gaji pertama mereka sebagai YouTuber selepas menjadi rakan YouTube (YouTube Partner) pada Mei dan menerima anugerah 'Silver Play Button’ daripada saluran video terkenal itu kira-kira dua bulan kemudian.