PUTRAJAYA - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sekiranya bilangan kes positif Covid-19 di negara ini mencecah ke tiga angka, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

"Kita tiada lagi pilihan sekiranya wabak Covid-19 semakin hari semakin meningkat dan sekiranya mencecah tiga angka kita tidak akan lagi teragak-agak untuk melaksanakan semula PKP.

"Sekiranya ini terjadi sudah pasti kegiatan perniagaan dan aktiviti perkerjaan tertangguh, inilah membimbangkan kita semua.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, masyarakat memainkan peranan penting dalam mengawal penularan virus Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan. Kelalaian individu berbuat sedemikian akan meningkatkan risiko penularan semula wabak," katanya melalui sumber berita yang disiarkan dalam laman sesawang hari ini.

Tambah beliau, sempena Hari Raya Aidiladha minggu hadapan, sekiranya ada peraturan dan SOP baharu di keluarkan, diharapkan masyarakat dapat mematuhi arahan dengan baik demi untuk kebaikan semua.