KUALA LUMPUR – Polis menafikan satu video tular di media sosial yang mendakwa pihaknya menjalankan operasi dan mengenakan kompaun ke atas orang awam yang tidak memakai pelitup muka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 1 Ogos lalu.

Sebaliknya, video yang ditularkan itu adalah operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor di Lebuhraya Persekutuan pada 12 Jun 2019.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata operasi tersebut bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang tidak mengikut lorong disediakan.

Katanya, sebanyak 227 saman dikeluarkan pada operasi itu yang menunjukkan masih ramai penunggang motosikal gagal mematuhi peraturan dan berhadapan risiko bahaya kepada polis yang bertugas.

“Justeru, kami menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran video dan informasi tidak tepat serta memuat naik atau dikongsi di media sosial.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapato msih sengaja mensensasikan isu berkenaan yang jelas untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.