PUTRAJAYA – Seramai 31 individu yang melanggar perintah menjalani kuarantin di rumah telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(B) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Sekiranya didapati bersalah mereka boleh dikenakan didenda sehingga RM1,000, penjara atau kedua-duanya sekali.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

“Kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP home quarantine yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

“Pegawai Kementerian Kesihatan bersama anggota polis telah membuat 2,018 pemeriksaan mengejut semalam untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan, yang mana 1 individu telah dikenakan tindakan,” ujarnya di sini hari ini.

Sementara itu kata beliau, seramai 6,473 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam.

Katanya, kesemua telah ditempatkan di 26 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis.

“Daripada jumlah itu, seramai 18 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19,” katanya.