PUTRAJAYA - Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju supaya garis panduan yang digunapakai semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini akan digunakan kembali pada PRK Slim dengan beberapa penambahbaikan.

Antara yang dipersetujui termasuk bilik gerakan parti dan bilik gerakan kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).


Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bilik-bilik gerakan ini perlu didaftarkan dengan pihak SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan.

Katanya, kempen dan ceramah hanya dibenarkan dilaksanakan di kawasan yang tertutup atau di kawasan yang berpagar sahaja bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan.


“Jumlah kehadiran perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa.


“Pemakaian pelitup muka juga adalah diwajibkan. Waktu untuk keluar mengundi adalah digalakkan mengikut ketetapan SPR bagi mengelak berlakunya kesesakan di pusat-pusat mengundi,” ujarny di sini semalam.


Difahamkan, pihak SPR akan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan pilihan raya yang memerlukan penilaianberdasarkan situasi semasa.


Sementara itu, SOP yang ditetapkan untuk PRK ini adalah berdasarkan Akta 342, dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia.


Ini bagi mencegah penyebaran jangkitan wabak Covid-19 semasa PRK berjalan, namun peraturan di bawah Akta-Akta SPR masih digunapakai semasa PRK.