Asap debu gunung berapi Sinabung, Sumatra, Indonesia yang meletus pada jam 11.37 pagi semalam dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri-negeri di utara serta timur Semenanjung Malaysia bermula malam tadi.

Melalui satu kenyataan media, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, asap debu tersebut tidak akan menjejaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini meskipun asap debunya menghala ke arah timur dan tenggara Pulau Sumatera.

"Kita menjangka kesan letusan itu boleh sampai ke udara di Selat Melaka dan Semenanjung Pantai Timur tetapi, hanya menjejaskan kualiti udara untuk operasi penerbangan pada paras ketinggian 1,524 meter hingga 4,267 meter dari permukaan.

"Sehubungan itu, kita juga telah mengeluarkan amaran kepada operasi penerbangan untuk mengelakkan daripada menggunakan laluan itu kerana dibimbangi akan menjejaskan keselesaan penerbangan," katanya.

Mengikut sumber kenyataan, gunung berapi tersebut tidak pernah meletus sejak tahun 1600 dan kembali aktif pada 2010 dan letusan terakhir dilapor berlaku pada Februari 2018.

Menurut Jailan lagi, tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara  akibat letupan gunung berapi tersebut.

"Keadaan semasa IPU di seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang biasa iaitu baik dan sederhana.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial”, ujarnya.