SINGAPURA – Isunya kendengaran remeh tetapi tidak di negara jiran seberang tambak.
Empat pengimport telur di Singapura telah diarahkan oleh pihak berkuasa republik itu untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia.
 
Pengimport terbabit adalah Ang Seng Eggs Supplier, Dasoon Pte Ltd, Heng Guan Food Industrial Pte Ltd dan Lam Leng Trading Co. 
 
Arahan itu dikeluarkan Agensi Makanan Singapura (SFA) susulan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk terbabit yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan.
 
SE boleh dihapuskan dengan pemanasan, telur adalah selamat untuk dimakan jika ia dimasak dengan betul.
 
Difahamkan terdapat 32 pengimport telur di republik tersebut manakala pengeluaran telur tempatan pula sebanyak 26 peratus daripada keperluan negara.
 
Pada Julai tahun lalu, empat syarikat pengimport telur dari Malaysia diarah menghentikan sementara bekalan berikutan kegagalan mematuhi lesen.
 
Empat syarikat membekalkan kira-kira 30 peratus daripada bekalan telur ke republik itu yang dianggarkan menggunakan kira-kira 1 juta biji telur sehari.