IPOH – Kerajaan menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 222 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen menjelang 2030.

Setakat ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berjaya menubuhkan 163 PAWE di seluruh negara termasuk 20 PAWE baharu pada tahun lalu dengan peruntukan RM2 juta walaupun pada ketika itu negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, di Perak, terdapat 11 PAWE di Perak termasuk dua yang baharu ditubuhkan iaitu di Bagan Datuk dan Langkap.

Beliau berkata, JKM juga telah meluluskan penubuhan sebuah lagi PAWE baharu di Perak iaitu di Parlimen Kuala Kangsar dengan peruntukan RM100,000 bagi kerja-kerja pembaikan dan pembelian peralatan.

“Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan PAWE di Perak sebanyak lapan buah termasuk PAWE di Kampung Gajah,” katanya yang mensasarkan sekurang-kurangnya satu PAWE bagi setiap Parlimen di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rina berkata, penubuhan PAWE adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam memastikan agenda penuaan sihat, aktif dan produktif dalam kalangan warga emas dapat dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu, beliau berkata, Perak adalah negeri yang mempunyai peratusan penduduk warga emas tertinggi di Malaysia sebanyak 15.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu 397,000 orang.

“Berikutan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan United Nations Development Programme (UNDP) melaksanakan projek rintis Bandar Mesra Usia atau ‘Age Friendly City’ pada tahun lalu,” jelasnya.

Terdahulu, Rina menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan PAWE Baharu Negeri Perak di sini, hari ini. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin.