PUTRAJAYA - Aplikasi MySejahtera yang digunakan hampir 25 juta rakyat di negara ini mampu diperluaskan penggunaannya di sektor-sektor lain, seperti e-dagang, pendidikan dan perkhidmatan penghantaran serta berfungsi sebagai Pusat Sehenti (One Stop Centre) atau Super App yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform untuk semua rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, aplikasi tersebut banyak membantu kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam mengurus wabak COVID-19.
"Penggunaan aplikasi MySejahtera banyak membantu dalam menguruskan maklumat jangkitan, pengawasan penularan wabak serta pendaftaran suntikan vaksin secara waktu sebenar dan terkini.
 
“Penularan wabak COVID-19 mendorong keperluan untuk mengadaptasi kaedah digital dalam perkhidmatan kesihatan.
 
“Justeru, kami di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan meneruskan usaha membangunkan bukan sahaja infrastruktur telekomunikasi tetapi juga melipatgandakan penggunaan teknologi digital bagi merealisasikan aspirasi MyDIGITAL untuk manfaat semua lapisan masyarakat ke arah Revolusi Industri 4.0 dan kemakmuran bersama,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KKMM sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut pada hari ini. 
 
Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun dan untuk pada tahun ini ia bertemakan ‘Membina Dunia Yang Lebih Adil dan Sihat’.