PUTRAJAYA - Kira-kira 500 kenderaan diarahkan berpatah balik oleh polis Jumaat lalu kerana cuba untuk merentas negeri dengan alasan balik kampung. 

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memandangkan ramai yang gagal mematuhi arahan untuk tidak merentas negeri maka Kerajaan memutuskan untuk mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar. 

"Jadi mesyuarat hari ini (Sabtu) memutuskan tindakan kompaun boleh dimulakan oleh pihak polis," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, semalam. 

Beliau kesal dengan sikap rakyat yang tidak mengendahkan arahan kerajaan yang menyekat pergerakan rentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan meminta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Walaupun sudah ada yang dikenakan tindakan sebab melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan mereka yang balik kampung diarah berpatah balik," jelasnya. 

Katanya, fasa menggunakan budi bicara dan nasihat serta amaran yang diamalkan sejak Jumaat lalu akan ditambah dengan kompaun.

"Saya harap tak perlulah sampai dikompaun, duit bayar kompaun itu boleh guna untuk perkara lain. Yang penting patuh arahan dikeluarkan kerajaan," katanya.

Sehingga Jumaat, beliau berkata sebanyak 146 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri telah dilaksanakan dengan 238,500 kenderaan turut diperiksa.

Mereka yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat akan dilanjutkan selama 4 minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Beliau berkata, sekatan ke atas perjalanan antara negeri masih berkuat kuasa, namun ziarah dibenarkan dalam negeri dengan had 20 orang pada setiap masa.