KUALA LUMPUR - Seramai 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) untuk mengutamakan barisan hadapan termasuk guru dan pengamal media.

"Temu janji diberikan secepat mungkin selepas CITF menerima butiran mereka," kata beliau dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Kerajaan sebelum ini bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin COVID-19, tertakluk kepada bekalan vaksin.

Pada 28 April lalu, Khairy Jamaluddin memberitahu seramai 1,500 Petugas media menganggotai Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) serta Persatuan Wartawan Sarawak dan Sabah bakal menerima vaksin Covid-19 yang dijangka pada bulan Mei.

Kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini, suntikan diberikan selepas pihaknya menerima senarai nama petugas media terbabit.

"Kami terima senarai 1,500 petugas media bawah NUJ dan Persatuan Wartawan Sarawak dan Sabah. Kita mula vaksinasi kepada petugas media pada Mei," katanya.