KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 6 Jun ini sehingga 19 Jun depan.

Tindakan tersebut diambil selepas kesemua kawasan terbabit merekodkan kes positif dengan kebolehjangkitan yang tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kawasan yang dikenakan PKPD di negeri itu adalah Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Mukim Ulu Kinta dan Taman Kerian Tambahan, Parit Buntar, Kerian.

“PKPD turut dikenakan ke atas tiga perkampungan Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung, melibatkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong.
“Turut dikenakan PKPD adalah di Taman Berkat, Mukim Matang daerah Larut, Matang dan Selama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PKPD juga turut dilaksanakan di empat kampung di Mukim Pengkalan Hulu dan Mukim Kerunai, Hulu Perak.

Katanya, antara kampung yang terlibat adalah Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar, Mukim Pengkalan Hulu serta Kampung Alai dan Kampung Baharu (sebahagian dari Kampung Lalang) di Mukim Kerunai.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan jangkitan di kesemua lokaliti ini dapat dibendung secepat mungkin,” ujarnya.

Sehingga hari ini, kes baharu yang dilaporkan di Perak adalah sebanyak 371 dengan 362 kes adalah jangkitan tempatan dan sembilan jangkitan dari luar Perak manakala jumlah yang masih dirawat ialah 2,601 kes.

Daerah Kinta mencatatkan 59 kes dengan empat kes dari saringan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Jelapang yang kini merekodkan 27 kes, kluster Jalan Ng Song Teik (dua) dengan jumlah 23 kes dan kluster Jalan Cenderawasih (dua) yang kini merekodkan 132 kes keseluruhan.