KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan meminta individu yang gagal menghadiri tarikh janji temu vaksinasi mereka agar melakukan penjadualan semula menerusi aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu perlu dibuat bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai imunisasi kelompok 80 peratus rakyat tercapai.
Katanya, jumlah individu yang gagal menghadiri tarikh janji temu akan dimaklumkan kerajaan minggu depan.
“Kita terima laporan harian bahawa ada individu yang gagal hadir janji temu vaksinasi mereka atas pelbagai sebab antaranya tiada pengangkutan atau kerana takut untuk disuntik.
“Tetapi saya nasihatkan mereka agar melakukan ‘rescheduling’ dalam aplikasi MySejahtera mereka untuk membolehkan mereka tidak ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Tambah Dr Adham, kerajaan bagaimanapun tidak berdepan sebarang masalah akibat kegagalan individu menghadiri janji temu mereka kerana bekalan yang tersedia itu boleh digunakan untuk penerima suntikan pada keesokan harinya.