PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang melengkapkan 160 pegawainya dengan kemahiran khidmat psikospritual, khidmat bimbingan dan ilaj syarie bagi menangani kes kemurungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selain kes kemurungan, masalah lain seperti kerohanian dalam kalangan pesakit dan kakitangan hospital sendiri akibat pandemik Covid-19 turut diberi perhatian.

“Sehubungan itu, perkhidmatan tersebut akan disebarluaskan ke agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi hantaran Facebook di sini.

Mengulas lanjut katanya, bagi mencapai matlamat tersebut, 160 peserta terdiri daripada Kader Post Jakim yang berkhidmat di hospital seluruh Malaysia, pegawai mesra ibadah lantikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan spiritual provider lantikan Hospital Rehab Cheras akan diberi latihan.

Dalam pada itu, sebelum ini ratu rock tanahair, Ella turut melahirkan kerisauan terhadap peningkatan kes bunuh diri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memohon masyarakat sentiasa mengambil berat dan selalu bertanya khabar terhadap golongan terjejas.

Menurut Ella atau nama penuhnya, Nor Zila Aminuddin, 56, masalah kebimbangan dan kemurungan adalah pembunuh senyap yang sangat membimbangkan ketika ini.

“Baru-baru ini saya baca sebuah artikel, sebanyak 266 kematian berpunca daripada bunuh diri direkodkan sepanjang tempoh Mac hingga Oktober 2020, manakala sejumlah 60 peratus penyumbang statistik ialah daripada masyarakat Melayu dan beragama Islam.

“Tekanan perasaan bukan mainan, jangan perkecilkan keperluan anda atau sesiapa pun untuk mendapat sokongan dan bantuan,” katanya dalam satu entri di Instagram.

Penyanyi itu turut memberitahu, selain bantuan kewangan, golongan tersebut juga memerlukan rakan untuk berbual berkongsi masalah.