PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion di bawah Pakej Pemulihan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) secara berperingkat-peringkat bermula esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertamanya adalah Bantuan Prihatian Rakyat (BPR) manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September nanti.

Menurutnya, bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR.

“Bantuan kedua adalah pemberian Bantuan Khas Covid-19 (BKC) membabitkan tiga kategori iaitu isi rumah kategori miskin tegar, kategori B40 dan M40.

“Pertama, isi rumah miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 (November) dan RM300 pada Disember, manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima RM200 (Ogos) dan RM300 (November).

“Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 (Ogos) dan RM300 (Disember) manakala bujang B40 RM200 (Ogos),” katanya pada pengumuman khas pada hari ini.

Seterusnya kata Perdana Menteri, ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos ini.

Muhyiddin berkata, secara keseluruhan, pemberian khas BKC itu dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.

Bantuan ketiga, menurut beliau ialah Bantuan Kehilangan Pendapatan yang akan disalurkan pada Oktober ini iaitu sebanyak RM500 kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tahun 2021.

Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga sejuta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta ringgit.