KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pemberian diskaun dari lima hingga 40 peratus kepada 7.4 juta pengguna domestik selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri Isnin lalu.

TNB menerusi satu kenyataan berkata, secara keseluruhannya, seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik di semenanjung akan mendapat manfaat diskaun yang diberikan secara bersasar itu.

“Sebanyak lima peratus diskaun juga diberikan kepada pengguna elektrik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah yang akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan TNB.

“Diskaun sebanyak 10 peratus pula diberikan sehingga 31 Disember ini kepada pengguna elektrik di enam sektor perniagaan terpilih menerusi inisiatif Pemerkasa Plus melibatkan 11,800 pengguna,” kata kenyataan itu.

Difahamkan enam sektor berkenaan adalah pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Menurut TNB, selain diskaun di bawah Pakej Pemulih, pengguna elektrik di semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak 2 sen/kWj dari Julai hingga Disember ini.

“Bagi kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik Pemulih adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai hingga 30 September ini dan TNB sedang mengambil langkah perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun berjalan lancar.

“Pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik mulai bil bertarikh 15 Julai ini dan bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1 hingga 14 Julai, diskaun bulan Julai akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021,” ujarnya.