PUTRAJAYA – Sebanyak 2,618,316 orang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi Twitternya berkata, jumlah itu menunjukkan sebanyak 8.0 peratus daripada populasi negara ini telah melengkapkan vaksinasi.

Menerusi hantaran itu juga, Adham memaklumkan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin setakat semalam adalah sebanyak 9,0006,715 dos dengan 2,618,316 daripadanya ialah dos kedua.

“Bagi vaksinasi harian, sebanyak 206,015 dos telah diberikan semalam melibatkan pemberian 127,385 dos pertama dan 78,630 lagi ialah dos kedua.

“Lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor (348,853), Sarawak (299,593), Kuala Lumpur (244,709), Sabah (233,409) dan Kedah (193,575).

Sebelum ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyasarkan 10 peratus daripada populasi negara akan mendapat dos vaksin penuh menjelang Julai ini di bawah Program Imunisasi Covid-19 (PICK).