PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebelum ini pernah memegang pelbagai portfolio semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri pertanian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Menteri Belia dan Sukan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Pada masa sama, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

“Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri,” kata kenyataan tersebut.

Kata kenyataan itu lagi, adalah diharapkan pelantikan itu akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

“Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin di atas pelantikan ini,” katanya.

Hishammuddin kini menyertai tiga lagi menteri kanan dalam Kabinet: Mohamed Azmin Ali, Radzi Jidin dan Fadillah Yusof.