KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak memberi sebarang kelonggaran terhadap mana-mana kilang atau premis perniagaan ketika ini.

Malah, beliau turut berjanji mengambil tindakan tegas terhadap kilang atau premis yang melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kerajaan tidak bertolak ansur dengan kilang dan premis perniagaan yang melanggar peraturan.

“Kita akan melakukan ‘perang’ habis-habisan dalam ‘combat’ melawan Covid-19 dan mengambil tindakan tegas kepada kilang dan premis perniagaan yang masih degil,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Ini selepas dilaporkan 108 kilang dan premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP diarah tutup serta-merta dalam tempoh dua hari.

Ia meliputi 56 kilang dan premis perniagaan yang diarah tutup pada Khamis dan 52 lagi pada Jumaat.

Semalam di Tapah, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata, empat kilang yang terletak dalam Mukim Bidor dan Batang Padang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 10 Julai hingga 23 Julai, diarah tutup, manakala semua pekerjanya dikenakan kuarantin.

Kata Menteri Besar, empat kilang yang ditutup itu dipercayai menjadi punca penularan pandemik Covid-19 dalam mukim berkenaan.

Beliau berkata, pekerja kilang itu yang kebanyakannya terdiri warga asing itu tidak tinggal di asrama, sebaliknya mendiami rumah sewa di beberapa taman perumahan.

"Kalau mereka tinggal di asrama, sudah tentu memudahkan kita mengawal pergerakan dan mungkin hanya perlu buat PKPD terhadap asrama berkenaan sahaja.

"Oleh itu, semua kilang itu ditutup dan semua pekerja dipindahkan ke dua Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang terletak di Sungkai dan Chenderiang, bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu pula, sebanyak 21 buah kilang di Perak telah dikompaun dan diarah tutup serta-merta kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ia hasil operasi bersepadu yang dijalankan pihak polis dan agensi penguatkuasaan terhadap 6,479 buah kilang di kawasan perkilangan dan perindustrian di Perak sejak 1 Jun hingga 6 Julai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 76 kompaun telah dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), termasuk 21 kilang yang diarahkan tutup.