PUTRAJAYA - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terus merekodkan pemberian harian vaksin yang tinggi apabila kadarnya berjaya melepasi angka 300,000 dos sehari buat hari keenam berturut-turut.

Ia selepas sebanyak 324,745 dos vaksin Covid-19 lagi telah diberikan kepada penduduk negara setakat tengah malam semalam.

Jumlah berkenaan merangkumi 213,971 dos bagi suntikan pertama dan 110,774 lagi yang melengkapkan dua dos vaksin.

Pemberian vaksin tertinggi bagi dua dos semalam direkodkan di Sarawak iaitu berjumlah 35,179 dos manakala Selangor mencatatkan pemberian dos pertama tertinggi sebanyak 61,945.

Sepanjang enam hari sejak 5 Julai lalu, lebih dua juta dos diberikan melibatkan suntikan pertama dan kedua.

Secara keseluruhan, lebih 11 juta dos vaksin telah pun diberikan sejak PICK bermula penghujung Februari lalu.

Angka lebih 11 juta itu atau lebih tepat 11.075 juta merangkumi 7.649 juta bagi suntikan pertama atau 23.4 peratus daripada populasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini 3.426 juta dos kedua atau 10.5 peratus daripada populasi keseluruhan.

Ia sekali gus telah pun mencapai satu daripada tiga indikator nilai ambang peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) nasional iaitu liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Dr Adham berkata, Selangor menjadi negeri penerima dos pertama vaksin Covid-19 tertinggi iaitu seramai 1.446 juta individu atau 22.1 peratus daripada populasi.

Setakat ini Selangor turut menjadi negeri penerima tertinggi vaksin yang telah diberikan iaitu melibatkan seramai 1.932 juta individu.

Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 1.369 juta di Kuala Lumpur, 1.363 juta di Sarawak, 539,058 di Johor dan 471,393 di Perak bagi dos pertama vaksin telah diberi.