PUTRAJAYA - Sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka secara berperingkat-peringkat mulai 1 September ini bagi semua sekolah termasuk swasta.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan memberitahu, sehubungan itu sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.

Menurut kenyataan itu, pihak kementerian juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisai Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan warga sekolah ditingkatkan.

"Sehingga 16 Julai lalu seramai 253,366 orang atau 61.30 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 orang (46.33 peratus) kakitangan sokongan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Keputusan menyambung PdPR sehingga akhir Ogos dan pembukaan berperingkat pada Sept dibuat dengan mengambil kira kadar vaksinasi berkenaan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kementerian itu akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi melihat kemungkinan jadual yang ditetapkan itu diubah.

"Maklumat lanjut mengenai pembukaan semula sekolah untuk sesi bersemuka, kata KPM, akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum itu," kata kenyataan tersebut.