KUALA LUMPUR - Kerajaan yang ada pada hari ini tidak akan membiarkan rakyat menderita atau hanya berpeluk tubuh, sebaliknya sentiasa bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kerajaan tidak sempurna, pihaknya faham bahawa rakyat dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian Covid-19 ekoran peningkatan.

Justeru katanya, barisan Kabinet sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang dihadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi.

“Apa yang penting kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari.

“Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan” katanya ketika penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua lapisan rakyat agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi situasi pandemik ketika ini.

“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” tegas Perdana Menteri.